Pawagam Odeon Lama, KL
ICOMOS Malaysia merasa terpanggil untuk menyentuh tentang masa hadapan bangunan Pawagam Odeon Lama yang terletak di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur. Bangunan yang dahulunya popular sebagai destinasi utama peminat filem di bandar ini sememangnya telah lama terbiar, bagaimanapun secara keseluruhan, struktur dan ciri-ciri seni bina utamanya masih lagi utuh. Ia masih dianggap sebagai aset warisan Kuala Lumpur disebabkan reka bentuknya yang unik dan sejarahnya sebagai salah satu destinasi tayangan filem utama buat masyarakat Kuala Lumpur sebelum ini. Reka bentuk gaya Art Deco bangunan yang dibuka pada tahun 1936 ini lain dari yang lain, membayangkan budaya hiburan, gaya hidup dan teknologi zaman pembinaannya.
Ilustrasi seni bina bangunan pawagam Odeon yang dihasilkan oleh Pelukis Pelan, R.B Pereira, dari firma arkitek Booty & Edwards sekitar tahun 1934-1935.
Sumber: The Malayan Architect, Pertubuhan Akitek Malaysia.
Pawagam Odeon lama dilabel sebagai 'New Cinema' dalam peta Kuala Lumpur tahun 1936.
Sumber: Heritage Output Lab
Pawagam Odeon dibina oleh pengasas Cathay Organisation, Tan Sri Loke Wan Tho (1915-1964), anak kepada usahawan dan dermawan Loke Yew, sebagai sebuah panggung yang moden dengan ciri-ciri keselamatan terkini ketika dibina. Semenjak ditutup beberapa tahun yang lalu, banyak elemen dekorasi seni bina bangunan warisan ini nampak seakan diabaikan, sama ada ditanggalkan atau dihadang oleh papan iklan. Mural mozek istimewa yang menggambarkan drama komedi dan muzik pada fasad hadapannya tidak lagi kelihatan kerana telahpun dicat putih.
Gambar Pawagam Odeon tahun 1950an. Anak panah merah menunjukkan corak asal pada mural mozek pawagam Odeon yang berilhamkan peralatan muzik dan lakonan.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, 2011/0016424
Corak mural mozek asal tidak lagi kelihatan kerana telah dicat putih.
Seni bina Art Deco mewakili zaman sebelum Perang Dunia II. Gaya reka bentuk ini berbeza dengan bangunan moden yang lain kerana mempamerkan elemen-elemen dekorasi. Sayangnya, hanya tinggal beberapa bangunan tunggal gaya Art Deco di Kuala Lumpur yang rata-ratanya direka oleh Arthur Oakley Coltman yang berkhidmat dengan firma Booty & Edwards, perintis kepada syarikat BEP Architect hari ini. Antara bangunan tunggal Art Deco Kuala Lumpur yang masih menarik perhatian orang ramai ialah Bangunan Institut Penyelidikan Malaysia (IMR), Jalan Pahang; bangunan OCBC Lama, Jalan Leboh Pasar Besar; Bangunan Oriental Lama, Jalan Tun Perak; Bangunan Lee Rubber Lama (Jalan Tun HS Lee) dan Rubber Research Institute Lama, Jalan Ampang. Bangunan-bangunan ini wajar dipulihara kerana membentuk karektor Kuala Lumpur di zaman sebelum Perang Dunia II.
Bangunan Oriental Lama di persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Melaka bergaya Art Deco rekaan arkitek A.O Coltman, siap dibina pada tahun 1932.
Pawagam Odeon Lama merupakan satu-satunya bangunan tunggal bergaya Art Deco yang masih wujud di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ia menyimpan kenangan manis masyarakat dari pelbagai latar belakang yang sudah tentu merasa terikat kepada bangunan berumur 83 tahun ini. ICOMOS Malaysia menganggap sudah tiba masanya untuk masyarakat bersama-sama berusaha ke arah pemuliharaan dan pengekalan bangunan warisan di Kuala Lumpur. Apa-apa cadangan pembangunan di tapak atau kawasan sekitar bangunan Pawagam Odeon Lama diharapkan akan mengambil kira pemuliharan bangunan warisan tersebut ataupun setidak-tidaknya mengekalkan fasad luaran asalnya. Pengekalan bentuk fizikal serta imej asal bangunan warisan ini dipercayai akan dapat menghasilkan gabungan reka bentuk yang menarik antara bangunan baharu dengan yang lama, dan ini secara tidak langsung menawarkan pembangunan baharu yang bakal mengambil tempat nilai komersil yang istimewa. Yang penting, penggunaan semula bangunan lama secara kreatif membolehkan ia dinikmati oleh generasi akan datang. Kita masih lagi berupaya untuk mengekalkan aset sejarah dan warisan negara kita sekiranya para pemilik tapak dan bangunan-bangunan lama sensitif kepada nilai-nilai sejarah dan warisan intrinsik yang wujud pada hak milik mereka. Terdapat banyak contoh penggunaan semula bangunan pawagam warisan di negara lain yang popular dan berjaya dari segi komersil disebabkan elemen sejarahnya. Contoh yang terdekat ialah pembangunan bekas Bangunan Cathay (hari ini The Cathay) di Singapura yang mengekalkan fasad bangunan pawagam Art Deco yang asal.
Pembangunan bercampur The Cathay, Singapura yang mengekalkan fasad asal bangunan pawagam Cathay yang asal. Gambar oleh Calvin Teo, https://en.wikipedia.org/wiki/The_Cathay
“Pada pandangan kami, usaha untuk menyelamat, memulihara dan menghidupkan semula bangunan-bangunan warisan perlu diteruskan, namun keputusan muktamad bergantung kepada kebijaksanaan atau peluang yang dilepaskan oleh pemilik bangunan warisan."
Ar. Dato’ Hajeedar bin Abdul Majid
Presiden ICOMOS Malaysia