top of page

Kisah Sedih Pokok Tua, Sekadar di Pinggiran

Kenyataan Akbar ICOMOS MALAYSIA, 27 Jun 2021


Pokok-pokok tua – mungkin ada yang menganggap pepohon besar ini menyusahkan, membahayakan ataupun mengerikan kerana jikalau tidak, masakan pokok-pokok bernilai ini senang-senang sahaja ditebang atas nama pembangunan. Sebenarnya, tanpa disedari, pokok-pokok tua warisan kita ini telah banyak menabur bakti kepada kehidupan kita; meminjamkan teduhan selama mana ianya hidup, membekalkan oksigen serta menyerap gas karbon dioksida. Pokok tua di sepanjang jalan raya dapat mengurangkan biasan haba serta silauan matahari kepada pengguna. Kewujudannya penting dalam membantu keseimbangan ekologi, ekosistem serta persekitaran tatkala kita sedang menghadapi masalah perubahan suhu global serta fenomena Pulau Haba Bandar (UHI) akibat aktiviti pembangunan yang pesat.

Nilai pokok tua sebagai warisan budaya kita sering diabaikan dari aspek pemuliharaan serta penyelenggaraan. Keberadaan pokok tua di sesuatu tempat selama beberapa generasi dipandang sepi oleh pelbagai pihak. Kita seakan lupa bahawa pokok tua warisan budaya kita inilah yang menghubungkan diri kita dengan budaya, agama dan rohani selain memberi nilai simbolik tersendiri kepada warga kota. Dalam kebanyakan kes, kita jarang melihat pokok tua sebagai satu nilai sejarah ataupun tunjang kehidupan. Demi kelangsungan hidup, jati diri pokok tua amat kuat - ia seboleh-bolehnya masih mahu gagah memberi bakti kepada penghuni bandaraya disebalik keuzurannya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Sebaliknya, kita membiarkan pokok-pokok tua hidup sendiri, tidak diselenggara atau dijaga dengan baik. Akibatnya, kesihatan pokok tua tidak terjamin dan akhirnya, tumbang ke tanah jua. Sekiranya jatuh menghempap bumi dan mengakibatkan kemusnahan harta benda serta nyawa, pokok tua itulah yang dipersalahkan.


Beberapa pokok di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, Kuala Lumpur. Bukaan sempit mengongkong perkembangan struktur akar pokok sebegini yang memerlukan pendedahan kepada air dan cahaya matahari yang secukupnya bagi menampung sistem/struktur pokok.


Antara kisah sedih pokok tua warisan kita yang telah tamat riwayatnya:

a) Pokok Hujan-Hujan (Samanea saman) yang berusia 130 tahun tumbang di Jalan Ampang Kuala Lumpur pada 5 Mac 2018.

b) Pokok Batai Laut (Pelthoporum pterocarpum) berusia 127 tahun, tumbang di hadapan Bangunan Stadthuys, Melaka pada 17 Mac 2021.

c) Pokok tua di tepi Muzium Negara, Jalan Travers, tumbang pada 27 Mei 2021.

Insiden-insiden sebegini kerap berlaku di sekitar Kuala Lumpur terutamanya ketika banjir kilat, ribut dan hujan lebat.


Pokok yang tumbang di hadapan Bangunan Stadhuys, Bandar Hilir, Melaka - mangsa penurapan jalan dan siar kaki yang tidak prihatin terhadap penjagaan akar dan struktur pokok. Akar pokok ini kelihatan seperti telah terpotong.


ICOMOS MALAYSIA ingin mengingatkan bahawa pokok-pokok tua adalah warisan yang perlu dijaga dengan rapi selama mana ianya dapat bertahan. Berlakunya ketidakseimbangan struktur pokok yang berkanopi rendang selalunya disebabkan oleh kerosakan atau pereputan akar. Pihak Berkuasa Tempatan seharusnya mengadakan pemeriksaan serta penyelenggaraan secara berkala yang lebih kerap. Di Malaysia, kita mempunyai ramai arborist yang bertauliah dan pakar tentang keselamatan serta kesejahteraan pokok-pokok tua warisan. Penyelenggaraan bukannya dengan penebangan pokok atau crown reduction yang melampau tetapi dengan menyantuni pokok tua warisan kita ini demi kesejahteraannya. Kebanyakan akar pokok tua telah dipotong untuk memberi laluan kepada pembinaan atau pelebaran jalan raya, siar kaki serta pembinaan longkang. Solusi yang terbaik perlu difikirkan bagi mengatasi masalah ini.


Pokok yang tumbang di perkarangan Muzium Negara, Jalan Travers. Pemeliharaan pokok tua seharusnya dijalankan sepanjang tempoh kematangannya.



Menurut kenyataan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam laporan akhbar bertarikh 16 April 2021, sebanyak 57 pokok-pokok besar yang bermasalah akan ditebang dengan segera bagi mengelakkan kemalangan dan risiko kepada orang awam. Menurut pihak tersebut, penelitian telah dijalankan untuk mengenalpasti sama ada pokok-pokok itu akan i) dikekalkan, ii) ditebang dengan penggantian atau iii) ditebang tanpa penggantian. Pengekalan pokok tua adalah langkah yang terbaik, bagaimanapun, sekiranya perlu diganti, ia perlulah diganti dengan pokok yang matang secara transplanting. Penebangan tanpa penggantian seboleh-bolehnya dielakkan kerana untuk mendapatkan semula kematangan pokok memerlukan masa yang lama. Kita juga tidak mahu penebangan pokok tua menjadi tabiat dan menanam sentimen negatif terhadap pokok tua, contohnya dianggap memudaratkan.


ICOMOS MALAYSIA ingin menekankan bahawa pokok-pokok tua bukan sahaja membentuk nadi kehidupan kita tetapi juga mempunyai nilai-nilai warisan tertentu, selain menjamin kelestarian bandar-bandar kita. Langkah pemuliharaan serta perlindungan yang betul/efektif adalah perlu seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Penanaman pokok di kawasan bandar di Malaysia mempunyai sejarah yang panjang. Menurut data kajian oleh Sreetheran (FRIM), penanaman pokok di bandar-bandar Malaysia bermula dengan penanaman pokok angsana (Pterocarpus indicus) di Melaka pada tahun 1778 dan di Pulau Pinang seawal tahun 1802. Ini merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Bandar di Negeri-negeri Selat. Oleh kerana serangan penyakit pokok angsana di Melaka, Singapura dan Pulai Pinang menyebabkan kematian pokok, spesis tersebut diganti dengan spesis pokok tempatan yang lain. Program penanaman pokok di Kuala Lumpur pula bermula di Taman Tasik Perdana pada tahun 1888. Program penanaman pokok di bandar-bandar Malaysia dahulunya di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan, Pertanian dan Kerja Raya (1920-an hingga 1930-an). Pelbagai program penanaman pokok turut dirancang bagi bandar-bandar di Malaysia antara tahun 1970-an hingga 1990-an.

Deretan pokok ru matang yang telah pun wujud ketika bangunan gereja St. George sedang dibina (sekitar tahun 1817-1818) tidak lagi kelihatan hari ini. (Sumber: kiri, University of Leiden; kanan, Google Street).


Di Kuala Lumpur, penanaman pokok dijalankan secara komprehensif terutamanya di pinggiran atau laluan jalan utama. Pada era 1990-an, pelbagai inisiatif dijalankan agar Malaysia dapat mencapai status ‘Negara Taman’:


1. Mewartakan pokok warisan “Tree Preservation Order” (TPO) - Akta 172; memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk memelihara setiap pokok secara individu atau berkelompok daripada tumbang, ditebang, rosak atau dimusnahkan seperti yang ditafsir dalam Bahagian 1 Seksyen 2(1), misalnya akibat daripada aktiviti pembinaan atau pembangunan.


2. Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dengan menetapkan peraturan dan undang-undang untuk menanam, memotong dan memulihara pokok).


3. Garis Panduan Landskap diterbitkan pada Julai 1995 oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa yang berfungsi sebagai rujukan untuk membangun dan memelihara kawasan lanskap, menyediakan piawai untuk penanaman pokok dan pokok renek, pemuliharaan pokok dalam pembangunan bandar, dan lain-lain. Garis panduan ini merangkumi perincian mengenai teknik penyediaan dan penanaman pokok secara keseluruhannya.


4. Kemuncak kepada pelaksanaan program penghijauan bandar ini adalah dengan penubuhan Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996.


5. Kempen penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh negara telah diadakan pada 3 Mac 1997. Kerajaan juga telah mensyaratkan Pelan Pembangunan Landskap di setiap bandar di Malaysia. Pelan Pengurusan Landskap turut diperkenalkan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyambut inisiatif Kerajaan ini dengan merealisasikannya di dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 1984 sehingga sekarang melalui Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 dan Pelan Pengurusan Karbon DBKL 2025. Program-program awal seperti 'Tiada Jalan Tanpa Pokok', 'Bandar Taman', 'Negara Taman' adalah faktor utama pengekalan pokok-pokok tua warisan kita ini di Bandaraya Kuala Lumpur.


Pokok tua membangkitkan nostalgia, emosi, menarik sentimen estetika dan boleh dianggap sebagai mercu tanda penting bagi bandar. Pokok tua menandakan sejarah kehidupan sesebuah bandar dan komuniti yang tinggal di sekitarnya. Ianya adalah simbol perubahan sejarah budaya setempat. Sesetengah pokok tua ini memberikan nilai semangat tempat (genius loci) serta mempunyai perkaitan yang kuat dengan sejarah setempat. Di manakah pokok yang ditanam oleh Sultan Abdul Samad semasa membuat lawatan rasmi baginda ke Kuala Lumpur 1886? Adakah kewujudan pokok warisan itu disedari sebelum ini atau hanya hilang ditelan waktu?


Antara solusi penyelenggaraan akar pokok tua di kawasan bandar adalah dengan menyediakan bukaan dan reka bentuk permukaan siar kaki yang lebih sensitif kepada kestabilan akar. Sumber gambar: Landscape Plants, University of Florida


ICOMOS MALAYSIA ingin menyeru agar pihak berkuasa tempatan memandang keadaan pokok-pokok tua secara serius. Pokok-pokok tua kini nampak tenat, seakan-akan dipinggirkan. Sekiranya langkah-langkah yang lebih efektif tidak diambil, pokok-pokok tua akan lenyap daripada bandaraya kita - satu kerugian besar kepada bandar serta negara. Pokok tua warisan budaya kita adalah tinggalan sejarah yang perlu dihargai, sama seperti bangunan-bangunan sejarah.



Kenyataan disediakan oleh LAr. Dr. Rohayah Che Amat (UTM); ahli Kumpulan Penilai Warisan Kuala Lumpur & AJK Landskap Budaya ICOMOS MALAYSIA.

bottom of page