Selamat Ulang Tahun ke-110 buat Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur!
Kisah perkhidmatan kereta api di Kuala Lumpur bermula pada tahun 1886, apabila landasan yang menghubungkannya dengan Bukit Kuda (berhampiran bandar Klang) siap dibina. Sebelum itu, bijih timah dan hasil perdagangan yang dikumpulkan di Kuala Lumpur dihantar ke Pelabuhan Kelang melalui Sungai Kelang ataupun Jalan Damansara, tetapi kos pengangkutan menggunakan sungai dan jalan raya ini didapati tidak memberi pulangan yang sewajarnya. Perkhidmatan kereta api yang telah dibangunkan dianggap sebagai ‘game changer’ dalam sistem perancangan ekonomi Kuala Lumpur.
Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur, tahun 2021.
Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu gabungan kerajaan Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, telah ditubuhkan secara rasmi dengan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri. Ini bermakna, hari ini juga genaplah 125 tahun sejak Kuala Lumpur diiktiraf sebagai sebuah ibu kota. Stesen-stesen kereta api bandar ini merupakan mercu tanda kemodenan dan kemakmuran negara. Terminal pertama Kuala Lumpur di tapak bangunan Muzium Tekstil Negara hari ini (di persimpangan Jalan Sultan Hishamuddin-Leboh Pasar Besar) dahulunya amat sibuk. Cuba bayangkan Leboh Pasar Besar yang kini agak lengang, penuh sesak dengan tali arus orang, lanca dan beca yang lalu lalang. Untuk mengurangkan kesesakan, sebuah stesen baharu dan kuarters pekerja dibina jauh sedikit dari kawasan pusat bandar, di tapak stesen kereta api lama sekarang. Biarpun bangunannya ketika itu tidaklah sebesar mana, ia tetap mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Kuala Lumpur.
Stesen kereta api (dibina sekitar tahun 1892) yang telah dirobohkan untuk membina bangunan Stesen Kereta Api & Hotel Kuala Lumpur.
Sebuah entiti yang dinamakan Federated Malay States Railways (kemudian ditukar menjadi Malayan Railway dan kini KTM Berhad), telah ditubuhkan pada tahun 1901 untuk mengambil alih dan mengintegrasi seluruh pentadbiran kereta api yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu; merangkumi pembinaan dan pengurusan stesen, landasan, perumahan pekerja dan hotel-hotel yang berkenaan - monopoli korporat yang dikira agak besar pada waktu itu.
Sekitar tahun 1907, projek meluruskan beberapa bahagian Sungai Kelang yang bengkang-bengkok (antara faktor yang mengakibatkan banjir) membawa kepada pemindahan kuarters pekerja kereta api ke Jalan Brickfields dan juga pembinaan sebuah stesen kereta api baharu yang lebih besar dan gah, setaraf dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negeri yang mewakili wajah/imej negara di mata dunia.
Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur di masa lalu.
Arthur Benison Hubback yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu arkitek Kerajaan Persekutuan, ditugaskan untuk mereka bentuk sebuah bangunan stesen yang sama cantik dengan bangunan-bangunan kerajaan yang sedia ada di sekitar kawasan Padang Selangor. Dengan adanya gerbang-gerbang berbingkai tajam, chatri dan menara, konsep reka bentuk ala-ala Eklektik Mughal dikekalkan. Tawaran tender akhirnya dimenangi oleh Ang Seng dan Tetuan JA Russell dan PC Russell. Ang Seng, yang telah membina bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek dan sebagainya, adalah antara kontraktor yang tersohor ketika itu. Beliau dipertangunggung jawabkan untuk membina struktur asas bawah tanah stesen kereta api tersebut. Adik-beradik Russell ketika itu baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam bidang pembinaan tetapi berjaya membuktikan kebolehan mereka membina struktur utama projek mega itu. Ini merupakan peringkat awal eksplorasi keusahawanan mereka sebelum membuka ladang teh di Cameron Highlands iaitu Boh Plantation. Struktur bumbung di bahagian landasan, seperti yang telah dinukil dalam catatan sejarah, dikatakan mampu menampung beban salji kerana pengiraannya saiz strukturnya menggunakan piawaian yang diguna pakai di England. Kualiti pembinaan bumbung tersebut oleh Jabatan Kerja Raya Selangor amat baik, tahan sehingga hari ini.
Struktur kerangka bumbung yang kini berusia 110 tahun di bahagian landasan Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur (gambar dirakam pada tahun 2019).
Komponen hotel telah dibina bersekali dengan stesen tersebut sebagai kemudahan pengunjung kerana pada zaman itu, rumah tumpangan atau hotel yang boleh ditempah di Kuala Lumpur cuma ada satu atau dua buah sahaja. Hotel tersebut menjadi sinonim dengan Kuala Lumpur malahan amat popular. Kereta Api Tanah Melayu (FMSR) merupakan antara operator hotel yang terbaik dan terbesar di Tanah Melayu, memiliki cawangan hotel atau rumah rehat di setiap bandar utama.
Stesen Kereta Api Kuala Lumpur mula beroperasi pada 1 Julai 1911. Gerabak kereta api pertama kali berlepas dari landasan baharunya ke Singapura pada malam sebelumnya. Berkemungkinan besar, ada majlis-majlis rasmi yang telah dianjurkan di antara tarikh tersebut dengan pembukaan hotel stesen ini pada 11 Ogos 1911. Kehebatan reka bentuk Stesen Kereta Api Kuala Lumpur diperakui ramai sehingga ia digelar sebagai stesen kereta api yang tercantik di Timur Jauh. Nama Arthur Benison Hubback juga menjadi masyhur, sehingga dijemput ke Hong Kong untuk mereka bentuk Stesen Terminal Kowloon, sebelum beliau mereka bentuk Stesen Kereta Api & Hotel Ipoh.
Bentuk bukaan-bukaan gerbang yang tersendiri di sepanjang koridor dan laluan masuk bangunan Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur (gambar dirakam pada tahun 2021).
Salah satu 'chatri' di bangunan Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur (gambar dirakam pada bulan Disember 2019).
Binaan bangunan yang mengagumkan ini telah menyambut ketibaan orang ramai ke Kuala Lumpur hampir seabad lamanya sebelum fungsinya sebagai stesen kereta api utama dipindahkan ke Stesen KL Sentral. Kepentingan stesen ini boleh dilihat melalui filem-filem lama, di mana ianya jelas sekali pernah menjadi sebuah tempat bertemu yang popular. Mungkin ramai juga yang masih teringat-ingat akan babak-babak romantik atau menghibakan saat kereta api mula bergerak meninggalkan landasan (di Stesen KL Sentral, kita tidak dibenarkan menghantar atau menyambut ketibaan orang di platform). Tidak lupa juga nostagia suasana old world hotel stesen tersebut dengan lif elektrik klasik, panel dinding kayu dan perabot rotan retro.
Tangga dan susur tangan kayu di Hotel Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.
Ruang di dalam Hotel Stesen Kuala Lumpur yang membangkitkan nostalgia zaman kegemilangannya (gambar dirakam pada tahun 2019).
Biarpun kini tampak gelap dan suram, kusam dengan lumut, tumbuhan meliar, garis-garis retakan bangunan, bingkai pintu dan tingkap yang mereput - seakan berpenunggu, magis bangunan stesen kereta api ini masih belum hilang. Kelibat kubahnya masih mempesonakan biarpun dipandang dari jauh. Sempena ulang tahun bangunan ini yang ke-110, ICOMOS MALAYSIA mendoakan agar peluang untuk bangunan warisan kebangsaan ini dipulihara dan dipelihara dengan sebaik-baiknya terbuka dalam jangka masa terdekat. Semoga dipanjangkan umur. Amin.
Kumpulan Penilai Warisan Kuala Lumpur ICOMOS MALAYSIA
Penerbitan 'The Kuala Lumpur Heritage Agenda' boleh dimuat turun di sini.
Tonton BBC's Great Asian Railways Journey 'Kuala Lumpur to Melaka' yang mengetengahkan bangunan Stesen Kereta Api & Hotel Lama Kuala Lumpur di sini.
Comments